Gambar ini: Mak Chom (adik mama) dan suami, Pak Cik Mat minum petang di anjung kami semasa mereka menziarahi bapak dua minggu lepas.
Assalamualaikum.
Lama sungguh rasa tak masuk rumah sendiri...hmmm...lapang sungguh..tak ada apa-apa perubahan. Bila dah lama macam ni, mulalah...tak tau apa nak isi.
Sebenarnya, saya sendiri rindu untuk menulis. Masa tidak mengizinkan. Sejak meninggalkan sebentar Anjung Manjung...hampir tiga bulan, sejak Ramadhan lalu..baru inilah peluang yang ada untuk bercerita-cerita. Sepanjang Ramadhan saya sibuk dengan tempahan-tempahan biskut untuk hari raya..butter cookies dan coffee oil cookies..yang sentiasa menjadi kegemaran ramai bila tiba musim perayaan. Insya Allah, raya haji ni saya ambil juga sedikit tempahan dalam masa-masa lapang...ehhhh...sedappp..try lah.
Tapi..sepanjang bulan puasa walaupun sibuk dengan biskut dan terawih..ada yang tak seronoknya..bapak terpaksa dimasukkan ke hospital akibat prostate cancer yang baru didiagnos cukup setahun lepas. Kanser yang bapak hidapi ini telah merebak ke serata tulang dan kini bapak terpaksa bergerak dengan kerusi roda akibat lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah. Ini merupakan kesan daripada kanser yang menyebabkan kerosakan pada tulang belakangnya sehingga memberi gangguan pada saraf tunjangnya.
Sekarang ni, bapak dan mama, Datin Hajjah Mahani Abdul Rahim, tinggal sementara waktu dengan saya dan keluarga. Bagi kami, kalau diizinkan Allah biarlah bapak dan mama berada di sini selama-lamanya. Inilah masanya untuk saya membalas jasa mereka. Sebenarnya, inilah tanggungjawab dan amanah Allah kepada seorang anak terhadap ibu bapanya. Syukur Alhamdulillah saya mengahwini seorang suami yang sporting dan memahami keadaan kedua orang tua saya. Tanpa dia, tak mungkin keinginan saya menjaga bapak dan mama menjadi kenyataan. Malah, dialah yang sebenarnya membuka mulut mencadangkan perkara ini kepada saya. Saya amat bersyukur..terasa seperti doa-doa saya telah dimakbulkan Allah.
Mulai hari ini, kalau diizinkan Allah, saya akan mula menulis perjalanan hidup bapak dari hari ke hari. Kepada yang mungkin pernah menjadi peminat setia bapak dahulu...seorang veteran RTM..bekas pembaca berita yang terkenal suatu waktu dahulu yang seangkatan dengan Kamaruddin Ahmad, Harjit Singh Hullon, Salasiah Zakaria, Siti Fatimah Noor, Wan Chik Daud dan anak didiknya, Farit Ismeth Emir...silalah singgah ke anjung saya untuk mengenali dan mengetahui perkembangan Dato' Haji Hashim Embi. Kepada semua rakan-rakan seperjuangan bapak dan saudara-mara juga sahabat handai dari jauh dan dekat yang telah mengetahui keadaan bapak, menziarahinya dan bertanya khabar sejak Zulhijjah tahun lalu hingga kini, dan tak putus-putus mendoakannya, saya sebagai anak dan wakil keluarga mengucapkan terima kasih tidak terhingga. Allah sahaja yang dapat membalas jasa anda semua, Insya Allah.
semoga pak hashim kembali sihat.
ReplyDelete