Monday, January 18, 2010

Surat Untuk Fatini Yaacob

Assalamualaikum, Saudari Fatini yang sangat saya hormati.
Maaf, jika keterlaluan saya menggelar Datin hanya sebagai Saudari sahaja kerana bagi saya lebih mesra di antara kita dengan panggilan tersebut di dalam surat terbuka ini. Untuk pengetahuan Saudari, saya telah mula mengenali Saudari melalui penulisan Saudari tentang kisah hidup Natrah di Dewan Masyarakat lebih kurang 20 tahun yang lalu. Di ketika itu usia saya cuma 15 tahun, tetapi daripada penulisan dan 'finding' saudari itu telah terkesan di dada saya satu kisah yang menyayat hati derita seorang gadis muslim yang dipaksa bukan terpaksa, menyerahkan segala-gala keindahan hidup dan penghidupannya kepada kerakusan satu institusi yang langsung tidak berperikemanusiaan.
Pada usia 15 tahun itu, walaupun masih mentah dari soal-soal radikal, kejiwaan dan pemberontakan emosi, namun di atas minat yang mendalam terhadap sesuatu yang historik, ditambah pula gabungan cinta yang romantik dan kehidupan sungguh tragis seorang gadis 'mat saleh' yang malang ini telah membawa hampir keseluruhan jiwa dan nurani saya untuk terpahat pada kisahnya yang sangat-sangat meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya.
Entah mengapa ya, Saudari, saya bagai terpukau dengan Natrah ini. Apabila pertama kali saya terkerling kepada Dewan Masyarakat yang pertama sekali membuat liputan tentang Natrah, hati saya langsung terusik untuk membaca dan mengetahui cerita-ceritanya tanpa sabar-sabar lagi. Apakah ilmu yang Saudari pakai untuk 'menyantau' mata pembaca melalui isu Natrah yang istimewa ini? Berikan jawapan segera kerana Natrah ini atau Nadra atau Huberdina Maria atau Bertha ini telah saya jadikan darah daging saya seumur hidup selepas pertama kali saya terpaut dengannya.
Saudari Fatini,
Ingin tahukah saudari bahawasanya kecintaan saya kepada gadis kecil molek ini telah membawa kesan mendalam kepada saya. Saya sendiri tidak tahu mengapa. Mungkin atas keistimewaan perjalanaan hidupnya yang patuh pada cinta dan kerinduan..yang memulas hati dan sanubari..yang mengembangkan sayap antipenjajah..membuat kita menjadi pemikir dan pemenung dalam mengenangkan nasibnya yang teramat malang hingga lanjut usianya. Saya sendiri kagum dengannya sebagaimana Saudari juga kagum dengannya. Perasaan saya ini dan ingatan saya kepada kisah sedih dan pilu Natrah telah saya bawa hinggalah saya melanjutkan pegajian saya dalam bidang seni, sehinggalah pula saya bertemu jodoh juga dari kalangan orang-orang seni juga, yang akhirnya membenihkan zuriat yang seni....yang saya namakan Nadrah...malangnya bukan Natrah..segalanya di atas perbincangan kami berdua suami isteri yang meragui jika pula nama Natrah itu tidak membawa apa-apa makna.
Kecewa pada mulanya. Tapi, tidak pula kekecewa berkekalan hingga ke hari ini, setelah tamat membaca hikayat yang Saudari riwayatkan,"Natrah (1937-2009), Nadra @ Huberdina Maria Hertogh @ Bertha, Cinta. Rusuhan. Air Mata". Nadrah milik saya kini akan menjangkau usia awal remajanya, 12 tahun. Dahulu, jika dititipkan kepadanya nama 'Natrah' juga tidak mendatangkan apa-apa kecurigaan kerana sebagaimana juga ejaannya nama tersebut, 'Natrah' atau 'Nadrah' atau 'Nadra', maknanya tetap serupa iaitu 'sekeping emas'. Memang itulah dia Natrah sebenarnya, 'sekeping emas' atau 'a piece of gold', yang amat-amat berharga buat orang-orang Melayu dan Islam sezamannya yang sanggup bergadai nyawa untuk mempertahan dan memilikinya, juga sangat berharga kepada bangsa Belanda dan kerajaannya yang telah termalu sendiri atas kejelekkan 'Belanda dapat tanah' yang terpaksa akur dengan kemerdekaan yang dituntut Indonesia. Natrah juga begitu 'berharga' buat ibu, bapa dan adik-beradik yang 'menyayanginya'. Namun, yang terpaling berharga Natrah ini ialah kepada dua insan yang paling dapat membahagiakan hidup matinya iaitu Cik Aminah, ibu angkatnya dan Mansor Adabi, bekas suaminya, yang padanya tiada galang ganti biar tanah meliputi badan.
Tragis kita rasa apatah lagi si empunya badan kecil yang menanggung sengsara tidak terbela. Runtuh hatinya tiada yang dapat tegakkan kecuali apa atau siapa yang menjadi kecintaannya. Banyak persoalannya ya, Saudari, yang kita tanya dan jawab sendiri. Banyak juga 'kalau'nya yang kita sendiri tahu tak akan menjadi nyata jika ianya 'ia' sekalipun. Mohon Allah berilah keampunan kepada roh Natrah yang keliru..namun, persoalannya, kenapa yang Maha Esa menguji Natrah dengan ujian yang sehebat ini? Hanya Dia yang tahu...
Biar setakat ini dulu wahai Saudari Fatini yang saya hormati. Mungkin di lain masa dapat lagi saya menulis buat saudari. Semoga sejahtera hendaknya Saudari bersama keluarga dan kehidupan.
'Semoeka dapat berdjoempa lagie'.
Yang Benar,
Suhaila Hashim
Seri Manjung,
Perak.