Foto terakhir bersama Allahyarham Bapak seminggu sebelum pemergiannya bersama seluruh ahli keluarga
(Catatan kenangan ini akan ditulis peringkat demi peringkat mengikut masa yang dapat diluangkan oleh penulis)
Menunggu gambar terbaru yang kami ambil semasa Allahyarham Bapak masih hidup untuk di upload sungguh memenatkan. Entah sebab apa susah sangat nak upload gambar-gambar ke blog sejak kebelakangan ni. Saya pun tak berapa arif dengan arahan komputer ni, al-maklumlah.
Bapak...mengenangkan dia membuatkan hati jadi sayu dan sebak. Kenapa tidaknya, dialah bapa dunia akhirat yang telah membenihkan empat zuriat ke rahim mama lalu terlahirlah kami, dengan izin Allah, ke muka bumi. Saya amat bersyukur, Allah ciptakan dan meminjamkan diri ini kepada pasangan yang saling sayang-menyayangi ini. Tak taulah pulak kalau saya ni menjadi anak orang lain...entah lebih elok hati, budi dan iman atau sebaliknya. Namun, kepada siapa pun saya dikurniakan sebagai anak, saya memohon agar Allah yang Maha Adil akan sentiasa menjadikan saya anak yang soleh dan beriman, dan sanggup berkorban kepada ibu dan bapa saya sehingga ke akhir hayat demi Allah yang Esa.
Menyingkap kembali kenangan sepanjang menjaga Bapak, semasa dia sakit kadang-kala menjadikan hati tak keruan terutama bila teringat semula bagaimana menguruskan pakaian dan makan minumnya. Paling kasihan kepada Mama yang jarang sekali lekang dari sisi Bapak. Pengorbanan Mama selama Bapak sakit amat besar. Sepanjang masa Mama akan berada di samping Bapak untuk memandikan, menyalin pakaian, menyapu ubat, menyuap makanan dan sebagainya. Alhamdulillah, kesihatan Mama Allah bela. Mama tak pernah jatuh sakit sepanjang Bapak uzur, baik demam atau batuk. Cuma kepenatan jelas terlihat pada wajahnya. Tubuh badan Mama nampak susut dan memang nyata beratnya yang telah memberi bentuk badan yang ideal selama berpuluh tahun kepadanya telah menurun agak ketara hampir mencecah paras bawah 45 kilogram. Mama kurus dan cengkung. Bukan tak makan. Tapi, semua ni adalah kesan daripada keletihan yang telah membantutkan seleranya.
Jamahnya hanya sejemput nasi. Tapi, Mama kuat makan sayur dan ikan. Masakan hospital yang 'bolehlah' dimakan (kadang-kadang menjadi sangat enak bila kita melawat pesakit..tapi yang pasti pesakit pun komplen lauk tak sedap...) menjadi santapan Mama saban hari. Bapak jarang berselera lauk hospital. Bukanlah dia memilih tapi selain sakit kanser prostat dan tulang yang dialaminya, dia juga alah kepada makanan laut, kekacang, daging dan masakan pedas. Jadi, saya akan menyediakan makanan untuknya di rumah dan membawakan untuknya bila tiba waktu makan. Petang, Bapak akan minta dibelikan popiah basah kegemarannya; kuih yang kerap diminta sepanjang dia sakit. Mama pula makan apa saja yang dibawa tapi jangan lupa belikan pisang goreng atau cucur badak...yang itu pasti dia akan berselera.
Siang malam Mama akan setia bersama Bapak. Bapak pula, pantang Mama hilang pasti dia akan resah. Pernah saya minta untuk menggantikan Mama bergilir menjaga Bapak di hospital. Pertama, dia akan bersetuju. Kedua, bila tiba masanya Mama balik Bapak akan berpaling dan mendiamkan diri tanda protes. Tapi, sesungguhnya Bapak seorang pemendam dan perahsia. Dia hanya akan berdiam diri jika soalan yang diajukan tidak mengikut kehendak perasaannya terutama jika Mama minta untuk balik ke rumah sebentar, untuk mandi sepuas-puasnya dan melepaskan lelah sekadar waktu di atas tilam empuk di bilik yang kami sediakan untuk mereka. Ceritanya hanya layak dikongsi bersama Mama biarpun perihal anak-anak.
Begitulah Bapak. Amat memerlukan Mama disampingnya sepanjang keuzurannya. Bapak amat menyayangi Mama. Dan, Mama terlalu obses dalam menyayangi Bapak. Mama makan hati dan menjeruk perasaan setelah Bapak pergi meninggalkan kami. Kadang-kala terdengar juga tangisan Mama dari dalam bilik mandi. Mengharukan. Memilukan. Kasihan saya pada dia.
Siapakah yang dapat melupakan insan tersayang terutama bila dia pergi, di mana pemergian itu tak akan kembali lagi? Apatah lagi seorang isteri yang telah hidup bersama suaminya selama 40 tahun, berkasih sayang dan bersuka duka selalu bersama-sama. Pucuk pangkalnya, biarlah kasih sayang kita kepada manusia sekadar dapat membuat kita bahagia yang berupa sementara. Tetapi, pupuklah kasih sayang kepada Allah sedalam-dalamnya agar kekecewaan kita tidak mencucuk terlalu jauh ke dalam jiwa bila kita ditinggalkan kelak.
Begitulah Mama, dia yang sedar semua ini. Ada katanya yang boleh dikongsi bersama, "..itulah..Mama terlalu sayang sangat pada Bapak...obses sangat....I loved him so much and I missed him...Tuhan nak tunjuk, jangan terlalu sayang sangat pada orang..kita kena sayang pada Dia lebih dari segala-galanya..". Mama...Suhaila sayang Mama. Semoga Allah pelihara dan lindungi Mama sentiasa...